INFO TERKINI
Rangkuman berita, fakta dan makluat aktiviti masjid.

ORANG RAMAI JANGAN PANIK, KEPERLUAN HARIAN MENCUKUPI DI JERANTUT

Admin

Admin

Pengarang

EKORAN 64 TAMAN PERUMAHAN DAN PENEMPATAN DIKENAKAN PKPD DI JERANTUT

 

JERANTUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi (KPDNHEP) Cawangan Jerantut memberi jaminan bekalan barang keperluan asas bagi daerah Jerantut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 28 Jun hingga 11 Julai 2021 adalah mencukupi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, orang ramai di daerah Jerantut jangan melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan harian mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah

“Diharap orang ramai membeli mengikut keperluan masing-masing dan sentiasa boleh mendapatkan bekalan keperluan harian.

 

“PKPD dikenakan di daerah ini dengan melibatkan 64 taman perumahan dan penempatan ekoran kes penularan wabak ini meningkat, bermula 28 Jun hingga 11 Julai, ”katanya.

 

Katanya, peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan seperti mengaut keuntungan tidak munasabah dengan menaikkan harga, mempamerkan harga mengelirukan, menyorok barang kawalan serta menipu timbangan semasa PKPD.

Sementara itu, Ketua Cawangan Abdul Mubin bin Ahmad berkata, bekalan barangan juga mudah diperoleh di seluruh pasaraya, pasar Mini, pasar Tani dan kedai kedai runcit kecil kerana premis-premis tersebut beroperasi seperti biasa.

 

“Bekalan barangan di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa. Pengguna tidak perlu risau kerana semua pasar raya dan premis peruncitan masih dibuka dan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan kerajaan.

 

“Bagaimanapun KPDNHEP menggalakkan pihak peniaga, pasar raya dan peruncit supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti dan jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan hanya membenarkan seorang sahaja wakil keluarga untuk membeli barangan keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sumber: sahih.com.my

2 comments

Leave a comment

Your email address will not be published.