INFO TERKINI
Rangkuman berita, fakta dan makluat aktiviti masjid.

JEMAAH BELUM DIVAKSIN, BUKAN WARGANEGARA DAN MUSAFIR DIBENAR SOLAT DI MASJID

Admin

Admin

Pengarang

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang memutuskan kebenaran beribadah bagi jemaah di masjid atau surau adalah dibuka kepada semua termasuklah jemaah yang masih belum divaksin, bukan warganegara dan juga musafir.
 
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, prosedur operasi standard (SOP) ini mula berkuatkuasa semalam manakala SOP lengkap kepada semua pentadbir masjid dan surau di seluruh Pahang akan disediakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
 
“Kehadiran jemaah di masjid dan surau kebenaran Jumaat adalah bergantung kepada keluasan kapasiti sesebuah rumah ibadat itu serta tertakluk kepada kemampuan dan kawalan terhadap jemaah oleh pihak masjid atau surau itu sendiri.Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

“Kehadiran jemaah juga adalah terbuka kepada semua sama ada yang telah divaksin atau belum divaksin, manakala jemaah dari kalangan bukan warganegara dan bukan ahli kariah juga dibenarkan dengan mengikut SOP solat di ruang musafir yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menggariskan panduan SOP bagi aktiviti pengajian ilmu di masjid dan surau di mana hanya kuliah subuh dan maghrib sahaja dibenarkan dalam tempoh waktu yang ditetapkan manakala selain kuliah tersebut perlu mendapat kebenaran daripada JAIP atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
 
Katanya lagi, aktiviti akad nikah pula boleh dilaksanakan di masjid negeri dan masjid daerah dengan kebenaran PAID manakala jamuan di masjid atau surau pula perlu mengikut SOP semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
 
Bagi pengurusan jenazah di masjid, surau atau rumah adalah dibenarkan dengan mengikut SOP pengurusan jenazah bukan pesakit COVID-19 yang disediakan.
 
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, pihak kerajaan masih tidak membenarkan jemputan penceramah, imam atau khatib dari luar negeri ini.
 
“Kanak-kanak yang belum baligh juga dilarang untuk hadir ke masjid, jemaah yang bergejala atau pun kontak rapat kepada pesakit COVID-19, segala perkumpulan sebelum atau selepas solat jemaah juga dilarang.
 
“Bagi memastikan tiada penularan berpunca daripada aktiviti ibadat, kita harap masjid dan surau dapat melakukan sanitasi sekerap mungkin dan mengawal jemaah supaya dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
 
Beliau juga meminta supaya semua jemaah sentiasa memakai pelitup muka dengan betul, menjaga jarak fizikal, mengimbas suhu badan, mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan membawa sejadah sendiri.
 
Beliau berharap semua SOP dapat dipatuhi sepenuhnya supaya umat Islam di seluruh Pahang dapat menunaikan ibadah harian atau rutin di masjid dan surau dengan baik meski pun dikenakan kawalan SOP yang ketat. – PAHANGMEDIA

1 comment

Leave a comment

Your email address will not be published.